Monday, October 25, 2010

Motivasi : Memberi Maaf Itu Penawar

Pengalaman hidup sama ada manis mahu pun pahit adalah inspirasi yang cukup berharga pada diri kita. Kita mungkin akan terkenang akan pengalaman yang pernah kita lalui. Pengalaman yang manis, kita seboleh-boleh ingin mengulangi kembali pengalaman yang dilalui itu. Namun sebaliknya, pengalaman pahit menjadikan diri kita terasa tidak tenang, gelabah dan tidak dapat melupakan pengalaman pahit pernah dilalui itu tidak berulang kembali. Dengan kata lain, tidak mahu sejarah berulang kembali.

Ironinya, siapa yang mengaturkan hidup kita ini ? Kita hanya mampu merancang, sebaliknya Allah swt yang maha mengetahui dan maha pengasih terhadap hambanya yang soleh dan solehah. Sebagai hamba Allah, kita cuba merancang hidup ini dengan terbaik dan menjadikan pengalaman yang lepas tidak berulang kembali serta menjadikan pengalaman tersebut sempadan dan pertunjuk agar kesilapan mahupun kesalahan tidak menghampiri diri kita lagi.

Pernahkah anda terpikir ? Dari manakah permasalahan itu timbul atau terjadi ? Siapa yang menimbulkan masalah itu ? Kenapa masalah tersebut terjadi ? Persoalan itu perlu dijawab sendiri. Barulah kita akan mengetahui isi kandungan sebenar-benarnya masalah tersebut terjadi. Tiada apa-apa yang terjadi di muka bumi Allah Swt ini tidak mempunyai asbab dan musabab. Kebanyakan masalah yang terjadi pada diri kita, datangnya daripada sesama manusia. Jelaslah bahawa, Allah swt mengurniakan sebuah hati pada setiap manusia. Sekiranya hati tersebut baik, maka baiklah keperibadiannya namun sebaliknya buruklah keperibadian.

Lihatlah bahawa, Rasulullah SAW. Semasa kecil, baginda dibelah dada oleh malaikat. Untuk apa? untuk membersihkan hati dari kekotoran rohaniah dan jasmaniah. Oleh itu, baginda merupakan insan yang cukup sempurna didalam dunia ini. Insan yang sangat-sangat agung. Hati merupakan satu anggota yang berperanan penting untuk membentuk keperibadian diri. Jagalah hati dengan sebaik-baiknya agar kita sentiasa dapat menangkis kekotoran yang terlekat pada nya.

Kita sering mendengar, aku minta maaf dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki semasa hari raya. Permohonan maaf itu ketika hari raya sahaja. Selepas daripada itu, kita akan mengulangi kesilapan tersebut dan tidak mengakui kesilapan tersebut. Tidak mengapa, nanti hari raya kita memohon maaf lagi. Adakah kita tahu, berapa kontrak hidup di dunia ini? adakah kita hidup lama lagi? atau orang yang kita melakukan kesalahan kepadanya itu telah hilang atau pergi menemui ajal dahulu daripada kita. Macam mana kita mahu mohon maaf ? Ingat bahawa, kesalahan dan kesilapan kita dengan Allah, insya-allah Allah maha pemurah dan penyayang untuk mengampun dosa tersebut. Syaratnya, bertaubat dengan bersungguh-sungguh.

Sebenarnya memohon maaf dan memberi maaf memberi kesan dalam kehidupan persahabatan. Orang yang suka memaafkan kesalahan orang lain, amat-amat disukai oleh Allah swt dan Rasulullah serta sesama manusia lain. Orang yang suka mencetus pertelingkahan dan berlebih-lebihan dalam pertelingkahan, amat-amat dibenci oleh Allah swt. Walaupun permohonan maaf adalah perkara yang sangat mulia dan seolah-olah merendah diri dan tunduk kepada seseorang, tetapi ianya adalah perbuatan yang sangat mulia. Bagi saya, maaf amat mahal harganya dan perlu dijaga ibarat sebutir permata. Jika maaf kerap dilafazkan terhadap orang yang sama dan kesalahan yang sama, nilai maaf itu sudah tidak begitu bernilai. Ada orang yang sering melakukan kesalahan sama, kemudian segera memohon maaf jika ada kepentingan tertentu kepada dirinya.