Monday, October 25, 2010

Motivasi : Jangan Mengharap Ucapan Terima Kasih


Setiap mahkluk Allah SWT yang dilahirkan di dunia ini dianugerahkan rezeki supaya mereka bersyukur kepada-Nya. Namun, ada diantara yang menyembah selain-Nya dan ada pula yang bersyukur kepada selain-Nya.

Adalah menjadi tabiat manusia suka mengingkari, membangkang dan memperkecilkan nikmat merupakan virus yang lazim menimpa jiwa manusia. Justeru itu, tidak hairan dan terharu jika mendapati mereka mengingkari kebaikan yang pernah anda berikan, mencampakkan budi baik yang sudah anda tunjukkan serta melupakan bakti yang sudah anda persembahkan. Lebih daripada itu, anda tidak perlu risau jika ada yang memusuhi anda dengan sangat keji dan membenci anda hingga mendarah daging.
"Dan tidaklah mereka mencaci dan mencela (Islam) melainkan setelah Allah dan Rasul-Nya memberi kesenangan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya."

Mari kita bertafakur sejenap memikirkan tentang perjalanan hidup ini dimana penghujungnya.

Jasa dan pengorbanan ibu bapa besar nilainya. Seorang ayah dan ibu sangguh berkorban masa, wang,tenaga dan kudrat semata-mata kerana seorang anak. Rela berlapar asalkan anaknya kenyang . Sanggup membanting tulang demi membahagiakan keluarga. Segala kemahuan anak, ditunaikan. Nah,apabila anak dewasa lebih-lebih lagi berjawatan tinggi. Ayah dan ibu dianggap sampah dan menjadi liabiliti dalam hidupnya. Ayah dan ibu ditinggalkan tanpa menghantar secebis khabaran. Ada yang lebih lagi, menghantar ayah dan ibu ke rumah orang-orang tua. Di manakah sikap dan sifat kasih sayang anak-anak terhadap orang yang banyak berjasa kepadanya.

Bagi ayah dan ibu, bukan wang yang diminta untuk menebus pengorbanan yang dilakukan sewaktu anaknya kecil. Namun, secebis kasih sayang dan pemerhatian serta ingatan dari anak-anak sudah cukup membahagiakan hati seorang ayah dan ibu. Sebenarnya, hati seorang ayah dan ibu tidak mengharap ucapan terima kasih daripada anak-anaknya, namun bagi seorang anak seharusnya ucapan terima kasih selalu diucapkan kepada mereka yang berjasa kepadanya.

Begitu juga, kebaikan yang kita lakukan kepada orang lain. Usah kita menunggu ucapan terima kasih. Biarlah kebaikan dibalas oleh Allah swt diatas keikhlasan yang dilakukan tanpa memikirkan untuk mendapat pujian daripada sesama mahkluk. Sebenarnya, kita TIDAK layak untuk dipuji. Hanya Allah swt sahaja yang kita puji. Apa yang ada pada diri kita? sebenarnya, semua yang ada pada diri kita datangnya daripada Allah swt. Bagi kita mahkluk Allah, seharus sentiasa dibibir mulut melafazkan kesyukuran diatas nikmat kurnian yang ada.

Kita sering marah apabila kebaikan yang kita lakukan tidak dihargai oleh orang lain. Pernah kita menghargai nikmat yang melimpah ruah Allah kepada kita?Nikmat pancaindera? nikmat Allah yang lain. Sebenarnya, kita sendiri tidak berterima kasih kepada yang Maha Pencipta terhadap kurnian Allah swt. Oleh itu, mulai hari ini sama-samalah kita menghargai dan sentiasa bersyukur diatas nikmat kurnian Allah swt. Bukan hanya melafaz dibibir mulut sahaja tetapi memperbanyak amalan sunat tanda kita bersyukur kepada-Nya.